Tuesday, November 3, 2009
Seuntai Kata Untuk Dirasa - Intipati Ucapan YDP Di Perhimpunan Rasmi terakhir 2009
Hadirin dan hadirat pencetus paradigma keguruan sekalian,
Rasanya , belum terlambat lagi untuk kami mengucapkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas pelantikan kami sebagai Exco JPP pada kali ini…Ucapan ini ditujukan kepada semua pelajar, para pensyarah dan khususnya kepada pihak pentadbir IPG Kampus Kota Bharu sekaliannya.
Walaupun terdetik di hati kecil ini, bahawa masih ramai lagi insan di bawah sana yang mampu untuk menggalas tanggungjawab ini…Namun begitu, kita perlu berkeyakinan bahawa setiap sesuatu yang berlaku pasti ada hikmah dan pengajaran di sebaliknya.
Kami, Saf kepimpinan JPP yang telah dilantik dengan rasminya ini, menerima segala tugas dan tanggungjawab ini dan bersedia melaksanakannya dengan sebaik mungkin.
Kepada rakan-rakan JPP…segunung harapan telah disandarkan kepada kita… ayuhlah kita menggenggam erat amanah yang diberikan ini. Janganlah kita jadikan jawatan,k edudukan dan pangkat sebagai suatu matlamat…sebaliknya semuanya itu hanyalah bersifat sementara dan hanya perlu sebagai landasan untuk kita cuba membentuk keyakinan diri dan belajar untuk menjadi pemimpin.
Ikhlaskan diri, istiqamah dalam setiap gerak geri, jauhi hasad dengki dan iri, pasti hidup diberkati dan diredhai-Nya.
Warga dewan sekalian,
Secara fitrahnya, saya penuh yakin dan percaya bahawa semua orang berkehendakkan kedamaian, keharmonian, ketenteraman dan kemakmuran. Mengapa kita perlu berbalah dan hanya mencari siapa yang salah…Sepatutnya, dengan kepakaran dan intelek yang dimiliki oleh warga IPG , kita sebenarnya mampu untuk membentuk organisasi yang kukuh dan konkrit. Kita perlu sedar bahawa semuanya hidup saling bergantungan dan memerlukan antara satu sama lain…justeru, biarlah
Segala permasalahan diselesaikan dengan rundingan Segala isu diselesaikan dengan perbincangan Segala salah faham diselesaikan dengan permuafakatan
elakkan perbalahan, elakkan persengketaan,elakkan persaingan yang tidak sihat
marilah kita sama-sama membentuk komuniti yang bersifat sejagat , akauntabiliti dan berintegriti.
Akhirnya keadilan, kesejahteraan, kesaksamaan dapatlah ditegakkan… insyaAllah.
Hadirin, insan dinamik sekalian,
Di kesempatan ini, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar bermotokan 1 Suara 1 Aspirasi … saya dengan ini ingin menjelaskan 3 hala tuju JPP pada kali ini iaitu :
1. Prihatin terhadap kebajikan, akademik , keperluan, isu dan segala permasalahan yang melibatkan pelajar-pelajar IPG Kampus Kota Bharu
2. Mengadakan pelbagai aktiviti dan program yang dirasakan perlu sebagai membantu pelajar-pelajar dalam pembangunan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial
3. Mewujudkan persatuan dan kelab berdaftar dengan mendapat kebenaran daripada pihak pentadbir IPG sebagai platform kepada pelajar-pelajar untuk berorganisasi dan mampu menbentuk personaliti guru yang unggul.
Justeru, jika hasrat kami ini dapat dilaksanakan….dengan izin Allah, pasti kita akan dapat melihat sedikit sebanyak perubahan, transformasi dan juga budaya yang positif bakal wujud di bumi IPG Kampus Kota Bharu ini.. segala-galanya mungkin dan tidak mustahil untuk dilakukan. . Dengan dokongan sepenuhnya daripada pihak pensyarah dan pentadbir dan sokongan padu daripada pelajar pasti agenda-agenda ini dapat dijayakan dengan cemerlangnya.
Hadirin yang dirahmati Allah sekalian..
Pada pagi ini juga, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar ( JPP ) ingin mengambil kesempatan untuk menyerahkan satu Kajian Analisis berkaitan isu dan kebajikan pelajar-pelajar IPG Kampus Kota Bharu yang telah dijalankan oleh Biro Kebajikan & kewangan JPP kepada Yang Berusaha Tuan Pengarah, Tuan Timbalan Pengarah dan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar.
Kajian yang telus dan tulus ini tidak lain dan tidak bukan adalah sebagai suatu alternatif berhubung beberapa perkara yang dibangkitkan oleh pelajar sejak akhir-akhir ini.. Barang kali mungkin, beberapa perkara tersebut dapat dipertimbangkan sewajarnya untuk kebaikan bersama. Besar harapan untuk kita melihat kehidupan dalam suasana yang harmoni dan damai abadi.Kami sebagai JPP hanya menjalankan tugas untuk cuba mencari jalan terbaik.
Hadirin dan hadirat,
Kalau ada tersalah bicara, terkasar bahasa, terkata ada yang tak kena.. mohon ampun maaf dipinta
Pisang emas dibawa belayar,masak sebiji di atas peti,
Azam diri jadi terpelajar, kunci utama ikhlaskanlah diri.
Gunung daik bercabang tiga, pulau pandan jauh ketengah
Berbudi baik pada semua, lupakan saja apa yang salah
Tarik papan sorong papan, buah keranji di dalam perahu,
Bulan habis berganti bulan, dekan nak periksa janganlah buat tak tahu..
Akhir kalam, saya ingin mengambil kesempatan ini sekali lagi untuk mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Bahasa yang sudi memberikan ruang ini . Seterusnya kepada semua agar terus menyokong dan mendokong gerak kerja JPP pada tahun ini dan lebih-lebih pada tahun hadapan serta tahun-tahun seterusnya.
Sebelum terlupa, kepada rakan-rakan pelajar, selamat menghadapi peperiksaan pada semester ini. Lakukan yang terbaik.Sekian salam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)





0 comments:
Post a Comment