Pada 23 Mei hingga 26 Mei, satu program Jelajah Bakti yang bertemakan 'Seiring Bersatu,Manfaat Bersama' telah diadakan di Kampung Tanjung Rambai, Grik,Perak dan juga Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Idris Shah II. Program ini telah mendapat kerjasama daripada Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, Persatuan Belia Tanjung Rambai, JKKK Tanjung Rambai dan SMKSIS II.
Sepanjang kami berkampung selama 4 hari 3 malam di sini, terdapat banyak pengisian telah diadakan bertujuan melatih para peserta dalam memahami aspek kemasyarakatan amnya seperti gotong royong bersama penduduk kampung, Sesi LDK bersama pemimpin asrama SMKSI II, Kem Bistari Solat bersama penghuni asrama yang terdiri daripada orang Asli, persembahan kebudayaan, keluarga angkat dan banyak lagi. Para peserta juga seronok bersama keluarga angkat yang sangat mesra dan sangat mengalu-alukan kedatangan bakal guru ke rumah mereka. Kami disambut dengan gembira dan pastinya tidak melepaskan peluang merasakan juadah enak dari Perak khasnya. Khabarnya, ada seorang perserta itu sangat rindukan masakan ikan pekasam buatan ibunya yang sangat sedap dan menyelerakan.
Ternyata program ini banyak mengajar kami bahawa menjadi guru bukan sahaja berada di sekolah, tapi juga berada bersama masyarakat bagi memahamkan kepada mereka tentang pentingnya pendidikan zaman sekarang.
Pihak JPP merakamkan setinggi penghargaan kepada Ahli Parlimen Lenggong, Dato' Shamsul Anuar dan juga Adun Kenering, Dato' Tarmizi atas kesudian merasmikan majlis ini di samping memberikan sumbangan kewangan dalam menjayakan program yang julung-julung kali diadakan ini. Begitu juga Pengarah IPG KKB, En Hashim Deraman atas sokongan penuh kepada JPP serta tidak lupa En Wan Ghazali dan En Shukri yang setia mengiringi kami di sini.
Pihak urus setia mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama semua pihak dalam menjayakan program ini. Semoga dengan program ini akan menjadi satu titik mula dan perubahan dalam diri setiap insan agar kita dapat melakukan yang terbaik dalam apa jua yang kita usahakan. Agi hidup Agi Ngelaban!
Sesi melawat ke Muzium Arkeologi Lenggong
Sesi LDK bersama pemimpin asrama SMK Sultan Idris Shah II
Sesi perlawanan futsal bersama Persatuan Belia Tanjung Rambai
Cabaran meraut lidi dalam Sukaneka dan Permainan Tradisional
Sesi mengecat mural dengan motif Banjaran Titiwangsa serta Air Terjun Lata Kekabu
Sesi perasmian penutup program oleh Ahli Parlimen Lenggong




